Wednesday, June 24, 2009

Dah tukar tajuk le pulak. Dah tinggal `Jalang' je...

Yasmin gusar watak jalang

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


Yasmin Khanif

JIKA ada beberapa pelakon baru yang mungkin mampu menyerlah pada 2009, satu daripada ruang itu tampak condong ke arah pelakon kacukan Arab-Melayu-Pakistan, Yasmin Khanif.

Watak Maria, perempuan yang menggunakan kuasa seks untuk meraih kesenangan dan kejayaan yang dilakonkannya dalam filem Jalang keluaran De’Baron Sdn Bhd, dilihat cukup panas dan mampu mengetengahkan bakat baru yang cantik ini untuk lebih dikenali dalam industri hiburan tanah air.

Dalam filem arahan Nazir Jamaluddin yang bakal menjengah pawagam penghujung tahun ini, watak Maria bukan sekadar ditonjolkan sebagai penggoda, bahkan diselitkan sama adegan yang memperlihatkan aksi pelakon itu di ranjang. Tidak cukup dengan gaya bahasa tubuh yang menggatal, disogokkan pula babak Maria diperkosa.


Keputusan De’Baron menghasilkan filem Jalang sebagai produk pertama mereka dalam dunia perfileman, pastinya membuka mata ramai pengikut filem Melayu. Judulnya saja sudah menggambarkan isi kandungan cerita, walaupun pada hakikatnya sebuah mesej lain ingin disampaikan pada kesudahan.

Filem yang asalnya menggunakan judul Taubat Jalang: Neraca Dunia kini hanya tinggal Jalang, hasil perbincangan syarikat produksi terbabit bersama Lembaga Penapisan Filem (LPF). Sesuai dengan judul asal, ia sebenarnya ingin menceritakan betapa wanita yang sekotor Maria sekali pun, ingin berubah apabila sampai masanya.

Pelakon berusia 21 tahun itu sendiri sukar menerima kebenaran, watak yang disaksikannya di layar besar pada majlis tayangan tertutup filem berkenaan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), baru-baru ini, dilakonkan dirinya.

"Saya sendiri tidak percaya, perempuan yang ditonton di skrin itu ialah diri saya. Namun, saya tidak menolak kemungkinan wujudnya segolongan perempuan yang berkelakuan sedemikian untuk mencapai hajat mereka. Jalang sendiri kelihatan seperti sebuah kisah benar, walaupun sukar untuk saya katakan, sama ada ia sindiran kepada sesetengah pihak atau sebaliknya. Siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya," kata Yasmin.

Akui wanita muda ini, jika diikutkan perasaan, tentulah dia berasa amat bimbang dan takut mengenangkan reaksi orang ramai terhadap watak Maria Hanafi yang dilakonkannya.

"Sebagai orang baru, saya harus mencuba pelbagai watak. Tidak kiralah watak yang berbentuk positif mahupun negatif. Keupayaan kita mungkin tidak berkembang jika hanya memegang watak yang sama selama-lama. Saya pula ingin maju ke depan sebagai seorang pelakon.

"Pada mula-mula ditawarkan watak ini oleh penerbitnya, Imran Ismail, saya pun terpaksa berfikir beberapa kali. Melihat skripnya saja, saya sudah menjadi risau. Namun, apabila diamati, kesudahan ceritanya membawa pengajaran yang amat besar kepada kita semua. Ia membuatkan saya bersedia untuk mencuba. Apatah lagi watak Maria itu juga mempunyai beberapa lapisan yang menarik untuk diteroka," katanya.

Ditanya apakah dia sudah bersedia berdepan kontroversi apabila nekad muncul bersama watak itu, pelakon ini sebenarnya sudah pun didedahkan dengan pelbagai komen, pedas mahupun sebaliknya, apabila sedutan filem itu dimuatkan di laman YouTube.

"Jika dilihat, sebenarnya filem ini tidaklah ‘teruk’ sangat sebagaimana yang dipaparkan di laman web. Begitupun, ramai juga rakan yang memberikan dorongan. Kata mereka, jika ramai yang memberikan komen, maknanya lakonan saya menjadi jugalah," kata Yasmine sambil mendedahkan babak rogol sebagai adegan paling sukar untuk dilakukan.

Selain Yasmin, turut membintangi filem ini ialah Hairie Othman, Helmi Husaini, Ridzuan Hashim, Kuswadinata, Norlia Ghani, Maria Farida, Roslan Salleh dan Yang Kassim.

Menurut Yasmin, keluarga turut memberikan keizinan untuk dia menjayakan filem itu dengan syarat kakaknya sendiri, Shima, dipertanggungjawabkan sebagai pengurus. Shima juga turut berada di setiap lokasi membabitkan dirinya, bagi memastikan Yasmin tidak terperangkap dalam babak yang keterlaluan.

Sebaik saja filem ini selesai, Yasmin sekali lagi ditawarkan oleh De’Baron untuk membintangi filem Kamikaze, yang dijadualkan penggambarannya pada Oktober depan.

"Bukanlah saya terikat dengan syarikat yang memperkenalkan saya dalam lakonan ini saja. Sebaliknya saya selesa bekerja dengan kumpulan kru De’Baron, apatah lagi apabila saya sudah lama mengenali penerbitnya," kata Yasmin, anak bongsu daripada empat adik-beradik.

Sementara itu, ketika diminta mengulas pandangan beberapa pihak yang mengatakan persembahannya dalam filem terbabit menyerupai lakonan Fasha Sandha (termasuk nada suaranya), sambil tersenyum Yasmin berkata, sememangnya agak ramai kawannya yang menyuarakan pandangan serupa.

"Saya ingin jelaskan di sini, saya tidak ada kena mengena dengan Fasha. Antara kami, tiada pertalian darah. Mungkin persamaan itu berlaku secara tidak sengaja. Saya juga tidak suka apabila disamakan dengan orang lain kerana saya ingin dikenali sebagai diri saya sendiri," ujar Yasmin yang meminati ramai pelakon tempatan.

INFO: Yasmin Khanif

Umur: 21 Tahun
Profesion: Pelakon, Model
Filem: Jalang
Iklan (kebanyakannya untuk pasaran antarabangsa): Nescafe, Menara Dubai, Head & Shoulder, Pepsi, Petronas, DiGi.
Jurucakap: Tilam Zaara.

No comments:

Post a Comment