Saturday, May 16, 2009

Balik pada adunan lama

Balik pada adunan lama

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
FILEM baru, konsep lapuk. Begitulah Taubat Jalang ...Neraca Dunia Hakimnya diibaratkan. Barangkali, ada yang menganggap dakwaan ini membabi-buta namun, itulah serba sedikit gambaran selepas menyaksikan 'thriller' filem arahan Nazir Jamaludin pada majlis pelancarannya, baru-baru ini.

Tatkala kebanyakan produser tempatan berusaha tampil dengan pembaharuan dan menghasilkan filem membanggakan sekali gus membawa penonton keluar dari kepompong dan pemikiran skeptikal, Taubat Jalang terbitan de'Baron Sdn Bhd, pula berbalik pada adunan lama.

Pengisian cerita, tema serta garapannya, ketinggalan serta langsung tidak mencerminkan bahawa filem ini bersedia memberi saingan terhadap filem sedia ada seperti Cicak Man, Geng, Antoo Fighter, Jin Notti dan Magika yang menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI).

Sedangkan jumlah pembiayaan filem yang mencecah RM1.5 juta, seharusnya dimanfaatkan penerbit dengan menghasilkan filem hebat dan berdaya saing dengan filem antarabangsa.

Imran Ismail selaku penerbit filem Taubat Jalang berkata, dia mempunyai alasan kukuh mengenengahkan tema sedemikian dan perkara itu sudah difikirkan sedalam-dalamnya.

"Kalau mahu buat filem aksi seperti kungfu katakan, rasanya baik kita tengok filem Hong Kong. Begitu juga filem animasi atau fantasi menggunakan teknik CGI, bukan saja kita tidak mampu tandingi Hollywood yang sudah berpuluh tahun menguasai teknologi itu.

"Malah penonton tempatan sendiri tidak boleh terima atau tidak mahu menyokong kalau ia diterbitkan produksi tempatan kerana satu-satunya masyarakat negara ini kita pandang rendah apa saja produk buatan Malaysia. Selain itu, filem Melayu tidak mendapat sokongan dari penonton berbangsa India dan Cina.

"Jadi, saya fikir lebih baik kita kembali kepada asal dengan menerbitkan filem yang dekat dengan jiwa penonton.

"Saya percaya filem filem ini mampu memberi mesej berguna kepada penonton walaupun tema sebegini bukanlah pertama kali digunakan sebagai formula dalam filem," katanya.

Beberapa babak yang sempat disaksikan pada majlis pelancaran itu sudah cukup untuk mengklasifikasikan filem ini sebagai 18SX atau 18PL.



Masakan tidak, sebahagian babaknya memaparkan betapa rakus Maria (watak yang dipegang pelakon baru, Yasmin Khanif) dirangkul dan dipaut lelaki berbeza, aksi di ranjang dan dirogol.

Bagaimanapun, Imran yakin judul Taubat Jalang dan pengisian jalan ceritanya diluluskan 100 peratus oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF).

"Secara peribadi, saya mahu filem ini diklasifikasikan sebagai 18SX. Tetapi saya percaya filem ini berkemungkinan besar diletakkan dalam kategori 18PL.

"Meskipun judul filem ini ada perkataan jalang, saya yakin tiada pemotongan babak dilakukan kerana yang pertamanya, pelakon tidak berbogel, mereka memakai baju selain menggunakan 'trick' kamera.

"Lebih meyakinkan yang filem ini tidak akan dipotong kerana jalan ceritanya sendiri mengisahkan wanita yang ingin bertaubat dan meninggalkan kehidupan lampaunya yang penuh nista.

"Lagipun, babak panas dan seks hanya memakan masa empat minit saja. Bagi menghidupkan suasana di ranjang itu selain menampakkan ia tulen, kami menggunakan teknik kamera tertentu.

"Walaupun percaya elemen seks mampu menjual filem ini, ingin saya tegaskan kami tidak menjual pelakon kami. Paling penting di sini, kami ingin memberi tahu penonton jangan sekali-kali menghukum kerana selagi bernama manusia kita tidak layak menghukum sesama insan melainkan Yang Maha Esa.

"Selagi belum terlambat, masih ada peluang untuk kita bertaubat," katanya.

Berhubung pemilihan pelakon pula, produser Taubat Jalang ternyata cukup berani apabila mengenengahkan wajah-wajah kurang 'komersil' sedangkan penerbit mensasarkan kutipan filem ini mampu menandingi kehebatan Sembilu iaitu RM6 juta.

"Semua pelakon mempunyai kelebihan masing-masing terutamanya pelakon berpengalaman yang tidak dapat kita nafikan kehebatan mereka di layar perak.

"Untuk mendapatkan pelakon hebat Ridzuan Hashim, kami menunggu jawapannya hampir setahun tetapi tidak mengapa kerana sememangnya dia paling layak membawakan watak itu.

"Begitu juga Hairie Othman yang sudah kita sedia maklum mutu lakonannya. Berjaya mendapatkan Hairie juga satu kebanggaan kerana dia sanggup meninggalkan tawaran lain semata-mata mahu menyertai filem ini.

"Sementara keputusan mengenengahkan Yasmin Khanif yang memegang watak Maria sebagai peneraju utama, tentu sekali kerana dia berbakat besar selain mahu mewarnai lagi industri dengan wajah baru.

"Dengan itu, saya percaya kebolehan pelakon disamping skrip serta garapan cerita yang bagus, Taubat Jalang yang menjengah pawagam sekitar Disember nanti mendapat sambutan penonton," katanya.

No comments:

Post a Comment