Filem Malaysia-Kenapa Tidak Ditapis
By MalaysianKenapa perlu melalui filem? Itu yang selalu aku fikirkan apabila terdapat segelintir pengarah dan penerbit filem yang menerbitkan filem yang memaparkan adegan-adegan ’kotor’ dengan tujuan untuk ’menyedarkan’ masyarakat tentang keburukan perlakuan tersebut. Soalnya, tidak ada cara lainkah untuk mendidik masyarakat?
Raja Azmi pernah mencetuskan kontroversi awal tahun ini apabila mendedahkan niatnya untuk mengarah sebuah filem bertajuk Anu Dalam Botol. Filem ini mengisahkan bagaimana seorang lelaki yang ingin mengubah jantinanya dan melakukan pembedahan di bahagian sulitnya. Setelah itu, beliau kembali insaf dan kembali menjadi seorang lelaki. Bagaimanapun, teman wanitanya memisahkan diri apabila dia meraba bahagian sulit lelaki itu dan mendapati lelaki itu tidak sempurna.
Ini bukan suatu cerita yang direka, tetapi sinopsis cerita ini dimaklumkan sendiri pengarah ini dalam akhbar sisipan Mingguan, Pancaindera. Kenapa perlu dipaparkan adegan meraba? Kenapa perlu dipaparkan adegan lelaki bercumbuan? Paling penting, kenapa jalan ceritanya perlu begitu? Aku tak fikir ini cara terbaik untuk mendidik masyarakat tentang keburukan hubungan sesama jantina.
Kita sering mengutuk filem barat kerana sering memaparkan adegan tidak senonoh seperti bercumbuan. Tapi, kita perlu sedar bahawa mereka tidak pernah memaparkan adegan yang mengghairahkan antara sesama jantina secara terperinci atau secara melebih-lebih.
Begitu juga dengan filem Bohsia yang medapat reaksi pelbagai pihak mengenai kelampauan filem tersebut. Tidak ketinggalan, filem Taubat Jalang yang akan memaparkan adegan panas. Drama-drama yang disiarkan di saluran televisyen juga tidak kurang ’hebat’nya. Cara pemakaian yang ala barat bukan sahaja mengakibatkan remaja kita menjadi semakin rosak, malah menyebabkan orang luar memandang serong terhadap negara kita. Ke manakah hilangnya konsep Islam Hadhari yang pernah diperkenalkan oleh bekas perdana menteri kita? Jauh dari itu, ke manakah hilangnya status negara kita yang dikatakan sebuah negara Islam?
Satu lagi isu yang patut diberi perhatian ialah soal memilih judul untuk sesuatu filem. Belakangan ini penerbit filem cenderung untuk menggunakan perkataan-perkataan yang tidak sesuai dan mudah disalah tafsir oleh golongan muda. Adakah mereka fikir judul yang menarik perhatian penonton itu akan mendatangkan kuntungan yang berlipat kali ganda? Seorang penulis buku yang pernah diwawancara di radio ikim.fm, Taufiqurahman pernah sebut bahawa apa yang penting dalam dunia tv atau radio ialah isi sesuatu filem atau rancangan itu sendiri, bukan hanya bergantung kepada tajuk yang menarik semata-mata.
Terdapat banyak cara lain yang boleh dilakukan untuk mendidik masyarakat. Bagi pelajarnya contohnya, ceramah keagamaan dan kem berunsurkan keagamaan boleh dilakukan. Malah, dakwah juga boleh dilakukan melalui filem dengan memaparkan unsur-unsur murni dan kelakuan serta pemakaian yang bertepatan dengan ajaran Islam. Memanglah tanggungjawab untuk berdakwah serta mencegah kemungkaran dan mendorong ke arah kebaikan adalah tanggungjawab semua Muslim tetapi ia mestilah dilakukan dengan berhemah dan cara yang sesuai agar tidak mendatangkan lebih kemudaratan. Malangnya, kebanyakan rancangan yang disiarkan di televisyen juga tidak cenderung ke arah usaha ini. Sebaliknya, semakin banyak rancangan yang melalaikan masyarakat disiarkan dan rancangan keagamaan pula semakin berkurangan dan tidak disiarkan pada waktu perdana.
Tanggungjawab ini juga dipikul oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia yang bertanggungjawab menapis filem-filem yang tidak menepati syarat-syarat untuk disiarkan kepada umum. Jika pada suatu ketika dahulu, kita boleh menyekat filem seram yang melampau, kenapa tidak sekatan yang sama dikenakan terhadap filem yang memaparkan adegan yang melampau dari segi pemakaian dan kelakuan? Atau adakah kita sudah hilang sensitiviti kerana ingin menjadi seiring dengan perubahan zaman milenium?
No comments:
Post a Comment