Saturday, November 14, 2009

Adegan panas lulus


Adegan panas lulus
Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

Rap
JALANG! Mendengar saja perkataan itu, pasti terdetik pelbagai prasangka buruk. Namun tahukah anda apa definisi jalang sebenarnya?

Ini yang cuba dirungkai produksi baru De’Baron Production Sdn Bhd menerusi Jalang. Barangkali, judul berkenaan cukup untuk membuatkan penonton hairan berbaur teruja untuk mengetahui apakah sebenarnya yang cuba diketengahkan.

Mungkin filem ini sekadar mahu mengeksploitasi wanita atau ingin mengaut keuntungan atas nama ‘kontroversi’ terbabit. Malah pelbagai andaian lain turut diberi kepada filem yang bakal menemui penonton di pawagam pada 26 November ini.

Selaku penerbit filem itu, Imran Ismail menjelaskan, pemilihan judul berkenaan bukan untuk menjual kontroversi atau sekadar mendapatkan publisiti murahan.

“Jauh sekali untuk mengeksploitasi wanita. Jika kita lihat sedalam-dalamnya, filem ini menceritakan mengenai definisi jalang itu sendiri. Jalang ini membabitkan sesiapa saja dan ia tidak semestinya wanita. Jika seseorang itu ada komitmen dan kemudian melakukan hubungan sulit dengan orang lain, itu adalah jalang.

“Jadi, soal menjatuhkan maruah wanita tidak pernah wujud kerana definisi jalang itu luas. Kami cuba mengangkat nilai persahabatan, pengorbanan dan perit getir seorang wanita dalam mengharungi cabaran hidup.

“Saya harap filem ini tidak dilihat daripada aspek kontroversi, sebaliknya dalami mesej yang tersirat,” katanya.

Imran juga ditanya mengenai babak panas ditampilkan Maria (lakonan Yasmin Khanif) yang mungkin menimbulkan persepsi negatif masyarakat. Malah, tidak kurang juga yang menganggap filem ini turut menyentuh sensitiviti masyarakat, terutama Melayu.

“Pada saya, elemen seksi serta babak panas dalam filem ini tidak seharusnya mengganggu sesiapa. Lagipun, realitinya perkara itu memang terjadi di dalam masyarakat.

“Jika kita mahu menyampaikan mesej dengan berkesan, mahu atau tidak elemen berkenaan perlu diketengahkan. Bagaimana mahu mengajar masyarakat jika tidak tampilkan perkara sebenar? Dalam masa sama filem ini bertujuan menyeru masyarakat melihat ke dalam masalah sosial yang terjadi di negara kita serta mengambil iktibar daripadanya.





“Lagipun Lembaga Perfileman Negara (LPF) juga meluluskan tayangan ini tanpa potongan. Begitupun, ia diklasifikasikan sebagai 18PL dan hanya penonton berusia 18 tahun ke atas dibenarkan menonton,” katanya.

Imran menambah, sebelum memilih Yasmin sebagai pelakon utama, pihak produksinya terlebih dulu menawarkan Fazura Sharifuddin untuk watak Maria.

“Begitupun, kami membuat keputusan mengetengahkan muka baru seperti Yasmin. Walaupun bayaran untuk pelakon baru ini lebih mahal berbanding Fazura, kami puas hati dengan lakonannya.

“Menyentuh soal lakonan, kami tidak boleh membezakan kredibiliti Fazura dengan Yasmin, lebih-lebih lagi Fazura ternyata lebih berpengalaman. Namun kerana mahukan sesuatu yang baru, kami tampilkan pelakon baru.

“Kami sedar banyak kekurangannya tetapi jangan nilai filem ini daripada segi itu. Yang kami cuba tonjolkan adalah mesejnya dan lakonan Yasmin berjaya menyampaikan watak berkenaan dengan berkesan,” katanya.

Selain Jalang, De’Baron Production bakal tampil dengan filem kedua, Datin Ghairah lakonan Maria Farida yang baru selesai penggambaran.

“Kami sengaja menggunakan judul berkenaan bagi menarik minat penonton. Begitupun, jalan ceritanya tidak panas seperti Jalang tetapi ia lebih menjurus kepada komedi situasi. Insya-Allah, selepas siap proses penyuntingan, kami akan mendapat tarikh tayangannya dan ia dijangka dipaparkan tahun depan.

“Kami juga dalam proses penggambaran filem ketiga berjudul Blues Untuk Aku dibintangi oleh kumpulan Kristal dan beberapa filem lagi,” katanya.

emel Emel Artikel cetak Cetak Artikel

No comments:

Post a Comment