
Jalang tersendiriOleh MURSHID EUNOSmetahad@hmetro.com.my MENDENGAR saja judulnya, terdetik rasa hairan berbaur teruja untuk mengetahui apa sebenarnya yang cuba diterjemah melalui karya ini. Jalang naskhah sulung produksi de’ Baron Sdn Bhd yang menampilkan Hairie Othman bersama pendatang baru, Yasmin Khanif ini bakal berjalan di pawagam mulai 26 November ini. Tidak hanya menggunakan judul sebagai tarikan, Jalang arahan pengarah muda, Nazir Jamaluddin ini lebih memberi ruang kepada plot penceritaan yang tidak klise. Mengangkat nilai persahabatan, pengorbanan dan perit-getir seorang wanita dalam mengharungi cabaran hidup sebagai tema keseluruhan, Jalang menjanjikan sesuatu yang ‘baru’ buat kaki wayang yang dahagakan kelainan. Hairie yang membawa watak peguam, Benjamin Adam, bagaimanapun menampilkan lakonan berbeza dalam filem ini. Selepas sekian lama menyepi dari dunia seni, hero filem Leftenan Adnan ini bersedia tampil ke depan untuk bercerita mengenai buah tangan terbarunya itu. “Selama ini ramai yang beranggapan saya hilang dari industri. Sebenarnya saya masih aktif berlakon drama dan telefilem walaupun tiada publisiti. Kadang-kadang tawaran yang datang pula tidak menepati karektor yang saya ingini, jadi saya tolak. “Jalang adalah sesuatu yang baru bagi saya. Mungkin karektor saya biasa saja namun plot cerita secara keseluruhannya membuatkan saya tertarik untuk mencuba. “Bekerja dengan orang baru seperti Yasmin dan Nazir memberikan saya satu perspektif berlainan selain saya juga dapat belajar banyak perkara yang jauh lebih efektif. Namun secara peribadi, apa yang ditampilkan Yasmin sebagai orang baru dan diberi tanggungjawab yang berat seperti ini, saya melihat dia berpotensi untuk pergi lebih jauh,” katanya. Bagi Yasmin, Jalang sebuah platform yang sangat baik untuknya bagi memperkenalkan bakatnya. Gadis kelahiran Kuala Lumpur berusia 21 tahun ini mengharapkan agar semua pihak termasuk peminat dan media menerima lakonan sulungnya. “Perasaan takut dan gementar memang kuat. Maklumlah ini percubaan pertama saya dan watak yang diberi bukanlah calang-calang untuk dibawakan. Namun saya percaya yang apa yang bakal disaksikan dalam filem itu nanti adalah yang terbaik cuba dipersembahkan. Cuma saya amat berharap agar penonton dapat menilai dengan seadil-adilnya tanpa mengkritik untuk menjatuhkan. “Watak Maria ini bukanlah sesuatu yang dekat dengan saya walaupun saya bergelumang dalam dunia peragaan, namun segala pergerakan saya banyak dipantau oleh keluarga. “Saya tidak bersosial dan bercampur dengan golongan yang cuba digambarkan dalam filem ini. Jadi saya cuba melakukan sedikit kajian bagaimana untuk saya kembangkan watak ini untuk menjadi lebih berkesan. “Tapi Jalang tidak hanya menceritakan perihal wanita yang berperangai negatif saja sebaliknya apa yang ingin disampaikan jauh lebih baik dari itu. Maria tidak hanya memperdagangkan tubuhnya semata-mata tapi banyak memainkan karektor lain yang kuat seperti pergelutan dirinya untuk bertaubat dan perasaan cinta terhadap sahabat baiknya. “Apapun saya cukup bersyukur kerana semua pelakon terutamanya Abang Hairie banyak membantu. Mereka sentiasa memberikan tunjuk ajar dan tidak pernah menghentam saya meskipun kadang-kadang agak sukar untuk saya menjiwai watak itu,” katanya yang terpaksa berdepan dengan babak rogol yang cukup menguji kemampuannya. Sekembalinya Hairie ke dunia seni tidak hanya bercerita mengenai Jalang saja, malah aktor yang gembira dipertemukan Faizal Hussein ini, turut berkongsi perancangan terbarunya. Hairie yang sudah lebih seabad membawa gelaran aktor kini bersedia untuk mencuba nasib sebagai pengarah filem. Peluang dan kesempatan yang datang buatnya tidak dibiarkan begitu saja sebaliknya ia akan menjadi satu lagi kebangkitan aktor ini untuk membuktikan dia benar-benar penggiat seni yang berwawasan. “Alhamdulillah masih ramai yang percaya pada saya dan kini saya sendiri terkejut apabila seorang teman menawarkan peluang untuk saya mengarah filem muzikal romantik komedi berjudul Blues Untuk Aku. “Filem ini akan dilakonkan oleh Aaron Aziz dan vokalis Kristal, Lan. Saya benar-benar yakin kebolehan mereka untuk membawakan watak utama dalam filem ini,” katanya. |
Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad
No comments:
Post a Comment