Wednesday, November 11, 2009

JALANG

Mesej lebih penting

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap
JUDULNYA saja sudah agak 'panas'. Namun, apakah filem Jalang terbitan De' Baron Sdn Bhd mampu menarik perhatian sehebat Perempuan, Isteri Dan... arahan U-Wei Saari yang ditayangkan pada 1993?

Jika watak Zaleha dalam Perempuan, Isteri Dan...dipegang Sofia Jane manakala Maria dalam Jalang diserahkan kepada pendatang baru, Yasmin Khanif. Sememangnya lakonan Sofia dalam filem itu menjadi tumpuan ramai malah menunjukkan lakonan cemerlang hingga dicalonkan untuk Pelakon Wanita Terbaik.

Justeru, Jalang yang diarahkan sutradara muda, Nazir Jamaluddin akan menemui penonton pada 26 November ini bakal menentukan masa depan Yasmin atau nama sebenarnya, Rosyasmin Mohd Khanif dalam dunia seni. Berlatarkan kisah eksekutif kanan di syarikat perkapalan antarabangsa, Maria berada di persimpangan dilema mengenang dosa lalunya.

Menyedari kehidupan manusia di dunia sekadar 'pinjaman', Maria akhirnya tersedar dan ingin bertaubat. Malah, hasrat itu membuak-buak sebaik dia bersua semula kekasih lama, Ikram Datuk Nahu selain dorongan rakan baiknya, Benjamin Adam.

Bagaimanapun, tanpa disedari Maria jatuh cinta dengan Benjamin Adam. Disebabkan dirinya yang sudah 'kotor', Maria enggan menerima perasaan itu. Malah, gara-gara keinginannya untuk bergaya dan berkuasa, Maria terjebak di lembah hina.

Bukan saja menjalin skandal dengan pemilik syarikat perkapalan tempat dia bekerja, Maria juga pernah ditiduri beberapa individu penting syarikat itu. Apapun, segala kelakuan keji Maria diketahui Benjamin Adam yang setia pada cintanya.

Bagaimana, tidak bagi Ikram yang menjadi pilihan Maria. Sebaik mengetahui kisah hitam gadis itu daripada bapanya, Ikram meninggalkan Maria yang dianggap Jalang. Apakah masih ada cinta sejati buat Maria? Malah, dapatkah Maria bertaubat?

Selain itu, sejauh mana Benjamin Adam dapat meyakinkan Maria mengenai ketulusan cintanya? Mengambil kira sinopsis jalan ceritanya, Jalang dimuatkan dengan kisah teladan yang manusia berdosa akhirnya ingin bertaubat. Namun, apakah masyarakat sekeliling boleh menerima penyesalan dan taubat Maria?

Filem edaran Primework Studio Sdn Bhd ini akan menjengah 46 pawagam seluruh tanah air. Selain Yasmin, Jalang turut membariskan pelakon seperti Hairi Othman, Helmi Husaini, Maria Farida, Kuswadinata, Norlia Ghani, Faizal Hussein, Roslan Salleh dan Fizo Omar.

Menurut Yasmin, 21, tidak dinafikan Jalang adalah percubaan pertamanya di layar perak. Namun, sebelum ini dia pernah membintangi beberapa drama dan telefilem seperti Email Dari Angkara, Villa Maya, Seteguh Hati Siew Foong, Layar Dimensi dan Ke Pintu Syurga.


"Sebagai pelakon baru, saya tidak nafikan watak Maria cukup berat. Ini disebabkan status sebagai wanita yang bergelumang dosa dan hina di mata masyarakat. Bahkan, saya kini berdebar menunggu reaksi penonton di pawagam tidak lama lagi.


"Maklum saja, Maria ini 'antagonis'. Justeru, saya memikirkan apa tanggapan penonton selepas menyaksikannya nanti. Apapun, terus terang saya sudah sedia terima sebarang kritikan sama ada ia positif atau sebaliknya. Bagi saya, sudah melakukan yang terbaik.

"Saya sudah berusaha merealisasikan Maria sebaik mungkin. Oleh itu, saya harap penonton terima lakonan ini dan usah lihat judulnya saja kerana mesej dimuatkan lebih penting. Bagi saya, Jalang filem yang membawa kisah teladan untuk penonton," katanya.

Yasmin berkata, sebaik dipilih membintangi Jalang, dia membaca skripnya lebih 10 kali sebelum ke set penggambaran. Apapun, dia gembira dapat menghasilkan filem itu dan berharap bintangnya dalam bidang lakonan tanah air akan bersinar.

Hairi sibuk di belakang tabir

Bagi Hairi Othman pula biarpun kurang muncul di skrin televisyen, karier seninya tetap sibuk. Kata aktor filem Leftenan Adnan ini, memandangkan faktor usianya sekarang dan pengalaman yang ada, dia lebih senang memilih untuk aktif di belakang tabir.

"Saya tidak merajuk atau menjauh diri. Cuma, dalam peringkat usia sekarang saya rasa biarlah karier lakonan itu diperluaskan di belakang tabir pula umpamanya, sebagai pengarah. Tidak dinafikan saya teruja untuk mengarahkan filem Blues Untuk Aku.

"Filem terbitan De' Baron Sdn Bhd ini kini dalam proses praproduksi. Malah, jika semua perancangan berjalan lancar kemungkinan penggambaran dibuat pada Januari 2010. Apapun, saya juga tidak sabar menunggu Jalang ditayangkan di pawagam.

"Ini berikutan, biarpun judulnya 'panas', Jalang yang di bawah klasifikasi tontonan 18 PL selamat 100 peratus daripada potongan Lembaga Penapisan Filem (LPF). Justeru, boleh dikatakan semua babak dimuatkan dalam filem ini mendapat kelulusan," katanya.

Berusia 38 tahun, bapa tunggal kepada tiga anak, Dini Marinie, 5, El- Farish Kamil, 4, dan El Harith, 3, ini berkata dia juga tidak memikirkan untuk berumah tangga. Buat masa sekarang, katanya biarlah tumpuan difokuskan membesarkan anak.

Fizo tumpu berlakon drama

Sementara itu, Fizo Omar berkata kemunculannya dalam Jalang sekadar penampilan istimewa. Katanya ia sebagai percubaan pertama dalam filem. Apapun, kata pelakon yang meningkat naik ini dia kini sudah bersedia untuk berlakon filem pula.

"Saya akui pernah buat kenyataan sebelum ini tidak sedia berlakon filem. Namun, hampir dua tahun bergelar anak seni dan sudah lebih 20 drama serta telefilem dibintangi, saya mula yakin. Disebabkan itu, saya bersedia sekiranya ada tawaran.

"Apapun, sebenarnya saya sedikit kecewa apabila dua filem sepatutnya dijayakan tertangguh kerana keadaan ekonomi. Malah hingga kini perkembangan untuk filem itu tidak diketahui kerana pihak produksi sepi. Jadi, saya anggap tiada rezeki.

"Justeru, saya memberi tumpuan pada berlakon drama dan telefilem. Hingga kini, boleh dikatakan jadual saya sibuk hingga awal tahun depan. Apapun, saya juga terbabit dalam pengacaraan apabila menjadi hos program Gen-X untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM)," katanya.



PROFIL



NAMA PENUH: Rosyasmin Mohd Khanif

NAMA KOMERSIAL: Yasmin Khanif

UMUR: 21 tahun

TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur

KARIER: Pelakon dan model

IKLAN KOMERSIAL: Petronas, Chili Peper, Guardian, DiGi, Twisties, Nescafe, Pepsi

DUTA PRODUK: Tilam Zara edisi Yasmin

DRAMA: Email dari Angkara, Villa Maya, Seteguh Hati Siew Foong, Hadiah Untuk Tahun Baru

FILEM: Jalang



NAMA PENUH: Wan Hafizol Wan Omar

NAMA KOMERSIAL: Fizow Omar

UMUR: 22 tahun

TEMPAT LAHIR: Pasir Puteh, Kelantan

KARIER: Pelakon dan model

PENCAPAIAN: Naib juara Pencarian Hero Remaja 2007/08

DRAMA: Gadis Merah Jambu, Rahsia Dari Syurga, Sari Maya, Jula Juli Bintang Tiga, Jodoh@ Siber, Bionik



NAMA PENUH: Hairie Othman

NAMA KOMERSIAL: Hairi Othman

UMUR: 38 tahun

KARIER: Pelakon dan model

IKLAN KOMERSIAL: Dunhill, Alba, Perillys, Code 10 dan Nescafe

DRAMA: Lebih 20 drama antaranya Hanya Dikau, Apartment 1-D, Press, Tiara Point, Tinta Merah dan Melarik Kasih

FILEM: Kad Cinta, Sutera Putih, Tragedi Oktober, Sate, Putera Impian, Leftenan Adnan dan Seri Dewi Malam





No comments:

Post a Comment