

Jalang buka mata
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
Yasmin Khanif
Yasmin Khanif tidak sangka filem pertamanya mampu tarik perhatian juri Festival Filem Malaysia ke-22 awal Ogos lalu
KETIKA senarai Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia ke-22 diumumkan tidak lama dulu, nama Yasmin Khanif turut dicalonkan sekali. Saat itu, tidak ramai yang mengenali siapa pelakon wanita ini.
Begitupun, pencalonan ke peringkat top 5 sudah tentu satu bonus buat Yasmin. Apatah lagi pada waktu itu, filem sulung lakonannya, Jalang, belum pun ditayangkan kepada umum. Paling tidak, pemilihannya ke peringkat akhir dikira promosi awal buat filem terbitan De'Baron Sdn Bhd itu, yang hanya menemui penonton mulai 26 November ini.
Yasmin bagaimanapun gagal menjulang trofi berkenaan, yang jatuh ke tangan Jaclyn Victor, hasil kemunculan pertamanya di layar lebar menerusi filem Talentime. Tiga lagi calon akhir lain ialah Heliza Helmi (Syurga Cinta), Zalina (Jin Hutan) dan Yuhana Yahya (Histeria).
"Untuk menang, rasanya memang jauh sekali daripada jangkauan. Namun, pencalonan ke peringkat akhir itu saja sudah cukup bermakna buat aktres yang baru hendak membuka langkah seperti saya. Saya benar-benar bersyukur dengan pencalonan berkenaan. Sampai sekarang saya masih tidak percaya, lakonan pertama sedikit sebanyak membuka mata juri festival," katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.
Kejayaannya ke peringkat top 5 kategori terbabit turut memberikan semangat lebih membara buat pelakon berusia 21 tahun ini untuk terus menyerlah menerusi lakonan seterusnya.
"Jika sebelum ini saya langsung tidak terfikir soal anugerah atau pencalonan, namun kini ia bagai memberikan harapan yang lebih bersinar. Ia membuatkan saya ingin belajar lebih mendalam lagi mengenai dunia lakonan, demi mempertingkatkan keupayaan. Jika ada rezeki, saya juga ingin sekali lagi berada dalam senarai top 5, pada festival tahun depan," katanya disulam senyuman.
Peluang itu tidak mustahil digenggam aktres bermata cerah ini apabila dia sudah pun dirisik untuk membintangi beberapa judul lain selepas Jalang. Antaranya, dia akan muncul dalam filem Insaf, diikuti Blues Untuk Aku yang bakal diarahkan pelakon Hairie Othman. Filem kedua itu sekali lagi diterbitkan De’Baron.
Bermula sebagai pelakon iklan, terutama untuk siaran Timur Tengah, anak jati Kuala Lumpur ini mengaku dia sudah mula berasakan keseronokan berlakon filem selepas membintangi Jalang, yang menggandingkan dirinya dengan ramai pelakon lelaki termasuk Hairie, Helmi Husaini, Ridzuan Hashim, Kuswadinata dan Yank Kassim.
Turut menjayakan filem yang dirakam sepenuhnya di Pulau Langkawi itu ialah Maria Farida, Norlia Ghani, Roslan Salleh, Faizal Hussein dan Amy Lateef.
"Walaupun penggambaran iklan memakan masa yang singkat, tetapi kepuasan sebenar dicapai sewaktu berlakon filem. Apatah lagi apabila saya diberikan watak Maria, wanita jalang yang ingin kembali ke pangkal jalan. Biarpun belum mampu memberikan persembahan terbaik, tetapi kepuasan dapat dirasa apabila melihat hasilnya. Di filem, kita perlu mempunyai rasa dan mesti menunjukkan emosi. Ia tidak dapat dilakukan di iklan TV," kata wanita cantik ini.
Menerima watak perempuan jalang sememangnya bukan calang-calang cabaran buat Yasmin. Namun, keluarganya sendiri memberikan galakan apabila mengetahui, cerita yang dipaparkan mempunyai pesanan positif yang bukan sedikit untuk penonton filem ini.
"Saya juga berdepan kesukaran untuk menghidupkan watak penggoda sebegini. Amat sukar bagi saya menzahirkan karakter seorang perempuan yang dibenci insan lain. Untuk saya mendapatkan lenggok serta bahasa tubuh watak terbabit nyata pengalaman yang sukar sekali.
"Nasib baiklah pelakon yang lain sudi menghulurkan tunjuk ajar, bagaimana perlu saya jayakan watak Maria. Bahkan, jurusolek juga tidak lupa menunjukkan gaya seorang perempuan jalang berjalan, bercakap dan sebagainya," cerita Yasmin.
Selama 14 hari mengikuti penggambaran filem itu, yang dilakukan awal tahun ini, Yasmin mendedahkan betapa babak dia dirogol pelakon Yank Kassim antara saat paling sukar untuk dilalui. Lebih-lebih lagi, babak itu memerlukan dirinya diperlakukan secara kasar. Bukan sekadar ditampar, malah tubuhnya ditolak dan ditendang tanpa belas.
"Berlakon dengan Abang Yank memang menyeronokkan. Dia pelakon yang cukup baik. Kami banyak mengadakan perbincangan sebelum melakonkan babak berkenaan. Kami cuba mencari jalan terbaik untuk menampakkan babak itu seperti benar-benar berlaku. Jadi, saya sendiri tidak kisah kalau sedikit tercedera, asalkan lakonan kita berkesan pada mata penonton," ujarnya yang melaksanakan tanggungjawab menghidupkan watak Maria seminggu selepas menerima skrip.
Pada pertanyaan, apakah dia tidak risau sekiranya peminat memandang serong hasil kemunculan pertamanya menjayakan watak berani sebegini, Yasmin berkata, jika orang ramai tidak menyukainya setelah menonton filem terbabit, dia sepatutnya berasa gembira kerana reaksi demikian menunjukkan lakonannya ‘menjadi’.
"Begitupun, saya hanyalah ‘jalang’ ketika berlakon dalam filem ini," kata pelakon iklan sepenuh masa yang menyimpan cita-cita untuk melangkah lebih jauh dalam industri perfileman di negara ini.
Jalang yang diarahkan Nazir Jamaluddin mengisahkan seorang eksekutif kanan sebuah syarikat perkapalan antarabangsa, Maria, yang berada dalam persimpangan, antara kejahatan masa lalu dan keinginannya untuk kembali bertaubat.
SINOPSIS:
SEBAGAI wanita yang berjaya dan dianugerahkan kejelitaan, Maria menjadi buruan lelaki berpangkat dan berharta. Dari tangan seorang lelaki ke lelaki lain, Maria melayari kehidupannya dengan penuh dosa. Namun, dia mula inginkan perubahan apabila bertemu dengan kekasih lama, Ikram.
Cinta Maria dan Ikram tidak berpanjangan apabila lelaki itu meninggalkannya setelah rahsia kehidupan wanita ini didedahkan bapa Ikram sendiri, Datuk Nahu.
Ketika itu, hanya teman baiknya, Benjamin Adam, yang mengerti keadaan wanita malang ini. Pemuda itu jugalah yang sudi menerima Maria sebagai teman hidup, walaupun dia mengetahui segala noda yang tercalit pada wanita ini. Dan, pada saat Maria mula melihat cahaya keinsafan, seorang lelaki yang taksub kepadanya muncul membawa keperitan tidak terhingga kepada dirinya.
Apakah pintu taubat masih terbuka buat Maria? Apakah keinginannya untuk kembali ke jalan yang benar tercapai juga akhirnya? Dan apakah dia dan Benjamin Adam mampu melayari kehidupan lebih bermakna? Semua itu hanya terjawab apabila filem Jalang mula diputarkan di pawagam pada 26 November.
Info:
Nama Penuh: Rosyasmin Mohd Khanif
Tarikh Lahir: 29 November 1988
Tempat Lahir: Kuala Lumpur
Adik-Beradik: Anak bongsu daripada empat beradik
Tinggi: 166 sentimeter
Berat: 54 kilogram
Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia
Profesion: Pelakon, Model iklan
Hobi: Membaca
Pelakon Pujaan: Aaron Aziz, Lisa Surihani
No comments:
Post a Comment